Gagal Bertahan Lama Ketika Bersama

Soalan

SAYA berusia 44 tahun dan mempunyai lima anak. Masalahnya zakar saya hanya mampu menegang kira-kira seminit setiap kali melakukan persetubuhan bersama isteri.

Ia sudah berlarutan selama lapan bulan.

Saya pernah mengambil pil viagra 50 mg dan 100 mg, tetapi tidak memberi kesan.

Ketika bersetubuh, saya akan mengepit kedua-dua belah kaki dan barulah zakar dapat mengekalkan ketegangan dan mencapai ejakulasi.

Apakah cara berkesan menyelesaikan masalah ini?


Jawapan


KETEGANGAN zakar berlaku akibat pengaliran darah ke ruang otot zakar. Kadang kala kemasukan darah tidak mencukupi menjadikan otot zakar tidak mencapai ketegangan yang dikehendaki.

Keadaan ini dikenali sebagai keciciran darah daripada otot zakar atau 'venous leakage'. Inilah yang mungkin berlaku kepada anda.

Cara mengepit paha untuk mengekalkan ketegangan seberapa lama yang boleh supaya anda dapat mencapai kepuasan ialah cara yang dapat mengawal darah dalam otot zakar.

Jika anda bergerak sedikit atau mengubah posisi, pengaliran darah akan berkurangan dan zakar akan kendur tanpa sempat menghabiskan persetubuhan.

Cara untuk mengatasi masalah 'venous leakage' ialah menggunakan alat penambat zakar seperti cincin zakar atau 'penile ring'.

Ia boleh disarung ke pangkal zakar sewaktu menegang supaya ketegangan dapat dikekalkan.

Ubat untuk melancarkan pengaliran darah dalam zakar seperti viagra, levitra atau cialis berkesan untuk mencapai ketegangan, tetapi ia tidak mengekalkan darah dalam otot zakar dan kemungkinan darah tercicir keluar dari otot.

Jika gagal mengekalkan ketegangan selepas memakainya, anda boleh gunakan dua atau tiga cincin berkenaan.

Senaman kegel atau kemutan juga menambah ketegangan zakar dan dibantu cincin penambat. Jika masih gagal juga, jumpa doktor pakar.


Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby